I made this widget at MyFlashFetish.com.

Ahad, Februari 13, 2011

Hadith-Hadith Berkaitan ILMU


1) MENUNTUT ILMU
Hadith: 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".

Huraian Hadith: 
i) Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu.
ii) Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu.
iii) Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa ia kepada Allah S.W.T.

2) KELEBIHAN MENUNTUT ILMU
Hadith: 
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan."

Huraian Hadith: 
Pengajaran hadith:
i) Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-Nya.
Ii) Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.
iii) Kita selaku umat Islam dilarang memperlekehkan golongan alim ulama' dan penuntut ilmu agama ini kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa para malaikat sendiri seluruhnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada mereka disebabkan kemuliaan ilmu yang dituntut itu.

3) KEPENTINGAN ILMU
Hadith: 
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa"

Huraian Hadith:
Pengajaran hadis:
i) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :
a) Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
b) Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
c) Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.
ii) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.
iii) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ˜bodoh sombong' maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.

4) KEISTIMEWAAN ORANG YANG MENUNTUT ILMU
Hadith: 
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai."

Huraian Hadith: 
Pengajaran hadith:
i) Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam.
ii) Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian makhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya 

5) JANGAN KEDEKUT MEMBERI ILMU
Hadith: 
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat"

Huraian Hadith: 
1. Islam sangat menghargai ilmu dan ulama (ilmuwan), sehingga kedudukan ilmu dan ulama sangat tinggi dan mulia dalam parameter Islam. Allah S.W.T telah berfirman: "... nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." (Al Mujaadalah [58]:
2. Kerana kedudukan ilmu yang sedemikian tingginya, maka Islam mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu, sehingga diharapkan mereka bekerja berdasarkan ilmunya, bukan sekadar mengikuti seseorang tanpa tujuan
3. Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan peradaban yang berguna serta memberikan gambaran yang betul tentangnya tanpa merasa iri hati atau tamak kerana orang yang memberikan ilmu berupa petunjuk akan dikurniakan balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang yang mengamal ilmu tersebut.

6) MENCARI KEPAKARAN ILMU
Hadith: 
Dari Zaid bin Tsabit r.a bahawa nabi saw. menyuruhnya supaya mempelajari tulisan Yahudi sehingga saya menuliskan untuk nabi s.a.w. surat-surat baginda (untuk orang Yahudi) dan membacakan surat-surat orang Yahudi apabila mereka berkirim surat kepada baginda.

Huraian Hadith: 
Kekuatan tidaklah terbatas kepada kekuatan senjata, malah melewati batas ini hingga merangkumi semua perkara yang boleh menjadikan seorang Islam itu kuat, seperti ilmu pengetahuan, kekayaan dan lain-lainnya. Apabila tiap-tiap Muslim itu kuat, umat Islam secara keseluruhannya akan kuat. Oleh itu, untuk mencari dan mencapai kekuatan di zaman moden ini memerlukan kepada daya usaha, ilmu pengetahuan untuk mempelajari segala jenis kepakaran dalam berbagai jenis ilmu seperti ilmu kimia dan fizik dan juga ilmu dalam perusahaan dan industri, melakukan percubaan-percubaan dan mempelajari ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh orang bukan Islam dalam bidang kebendaan. Oleh kerana pencapaian kekuatan adalah bergantung kepada perkara-perkara tersebut, maka Islam meletakkan hukum bahawa mempelajari perkara-perkara itu adalah sebagai fardhu kifayah kepada ummat Islam.


Sumber : JAKIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan