I made this widget at MyFlashFetish.com.

Isnin, Februari 21, 2011

NKRA, GTP martabat profesion pendidikan

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/02/17


BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP) Pendidikan 2010 berjaya memartabatkan profesion pendidikan negara dengan memperoleh ranking kelapan dunia seperti dilaporkan majalah Newsweek, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, antara kejayaan NKRA Pendidikan adalah melepasi sasaran 70 peratus kadar enrolmen murid prasekolah dengan mencapai 72.42 peratus di 315 prasekolah.

Beliau berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan 1,500 prasekolah Kementerian Pelajaran (KPM) manakala sembilan prasekolah di rumah panjang di Sarawak serta pusat komuniti di Sabah yang beroperasi pertengahan Jun tahun lalu

“Pada masa sama, 24,179 murid belajar di sekolah swasta daripada keluarga berpendapatan RM2,300 ke bawah layak menerima bantuan yuran RM150 sebulan.

“Ini menggalakkan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun di kawasan tiada prasekolah KPM, Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengikuti pendidikan di prasekolah swasta,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Abdul Ghafar berkata, tahun ini 715 prasekolah KPM dijangka memulakan operasi, selain 1,000 prasekolah KEMAS, JPNIN (50) dan prasekolah swasta (1,000).

Aspirasi NKRA pendidikan katanya, memberi penekanan kepada peningkatan pencapaian pelajar secara menyeluruh meliputi intelektual, emosi, rohani dan jasmani yang melonjakkan imej sistem pendidikan negara.
Beliau berkata, peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat penting dalam membangunkan modal insan cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya hasrat menjadi negara membangun menjelang 2020 tercapai.

“Inspirasi NKRA turut memastikan pendidikan berkualiti dan berkemampuan dikecapi semua pihak bagi meningkatkan taraf hidup secara menyeluruh,” katanya.

Abdul Ghafar berkata, NKRA Pendidikan menetapkan dua fokus utama dijadikan asas kepada transformasi iaitu memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan asas berkualiti dan membangunkan budaya pencapaian untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan.

Sehubungan itu katanya, pendidikan prasekolah, penguasaan literasi dan numerasi pada Tahap Satu, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan memperkenalkan tawaran baru kepada Pengetua dan Guru Besar mampu meningkatkan kecemerlangan taksiran berasaskan pencapaian dijadikan sub bidang NKRA.

Beliau berkata, selain dua fokus berkenaan, empat sub bidang NKRA meliputi peningkatan kadar enrolmen kanak-kanak berusia empat dan lima tahun menyertai pendidikan prasekolah.

Pelaksanaan itu kata Abdul Ghafar, bagi memastikan setiap kanak-kanak normal menguasai asas literasi dan numerasi selepas mengikuti tiga tahun pendidikan rendah.

Usaha diteruskan dengan membangunkan SBT dan menyediakan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar berdasarkan penilaian berasaskan pencapaian.

“Selain empat sub bidang NKRA ini, bidang utama lain juga dipertingkat bagi memastikan kelangsungan transformasi serta menghasilkan pencapaian seperti disasarkan.

“KPM sedang melaksanakan transformasi kurikulum bagi memastikan modal insan yang dihasilkan memenuhi permintaan dan keperluan negara untuk mencapai negara maju menjelang 2020.

“Transformasi kurikulum memberi penekanan kepada aspek penguasaan bahasa khususnya bahasa Malaysia dan Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda masing-masing,” katanya.

Abdul Ghafar berkata, daripada aspek Literasi dan Numerasi (LINUS) pula, pihaknya menyasarkan 90 peratus pada 2010.

Saringan ketiga pula katanya, menunjukkan prestasi murid meningkat 85 peratus berbanding 64 peratus pada saringan kedua, manakala kadar numerasi pula meningkat 91 peratus berbanding 73 peratus pada saringan kedua.

Katanya, biarpun sasaran murid menguasai literasi gagal mencapai sasaran, pencapaian setakat ini menjadi penanda aras menunjukkan sasaran pada 2012 mampu dicapai.

Mengulas sasaran SBT iaitu 20 pada 2010, Abdul Ghafar berkata, 20 sekolah diberi pengiktirafan sebagai SBT berdasarkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah pelajar.

Sejak memperoleh pengiktirafan itu, beliau berkata, banyak kejayaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dicatatkan.

Kolej Tunku Kursiah, Seremban, Negeri Sembilan muncul naib juara kategori khas pada Pameran Kejuruteraan dan Sains Antarabangsa Intel (ISEF) di San Jose, Amerika Syarikat.

Beliau berkata, Sekolah Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru pula memenangi dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Mathematics Olympiad.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur pula kata Abdul Ghafar, memenangi pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa termasuk dua perak pada temasya renang Sukan Sekolah ASEAN Kedua.

Satu emas diperoleh sekolah itu dan perak pada Sukan Pelajar Asia Tenggara. Pasukan sekolah turut mendapat emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya renang Terbuka Malaysia.

“Pelajar sekolah itu turut mewakili negara pada temasya renang Kejuaraan Renang Antarabangsa Jepun ke-51, Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya.

Abdul Ghafar berkata, selain pencapaian sekolah, guru besar yang layak menerima ganjaran perlu memenuhi kriteria seperti Laporan Nilaian Prestasi tahunan cemerlang, bebas sebarang tindakan tatatertib serta tiada audit bersyarat.

“KPM memperkenalkan Program Pembangunan Prestasi Sekolah bagi membantu sekolah berprestasi rendah dalam Band Enam dan Tujuh.

“Biarpun ia bukan sub NKRA utama dalam NKRA Pendidikan tetapi berjaya dilaksanakan bagi memastikan sekolah terbabit dapat meningkatkan prestasi masing-masing,” katanya.

Ahad, Februari 13, 2011

Hadith-Hadith Berkaitan ILMU


1) MENUNTUT ILMU
Hadith: 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".

Huraian Hadith: 
i) Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu.
ii) Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu.
iii) Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa ia kepada Allah S.W.T.

2) KELEBIHAN MENUNTUT ILMU
Hadith: 
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan."

Huraian Hadith: 
Pengajaran hadith:
i) Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-Nya.
Ii) Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.
iii) Kita selaku umat Islam dilarang memperlekehkan golongan alim ulama' dan penuntut ilmu agama ini kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa para malaikat sendiri seluruhnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada mereka disebabkan kemuliaan ilmu yang dituntut itu.

3) KEPENTINGAN ILMU
Hadith: 
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa"

Huraian Hadith:
Pengajaran hadis:
i) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :
a) Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
b) Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
c) Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.
ii) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.
iii) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ˜bodoh sombong' maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.

4) KEISTIMEWAAN ORANG YANG MENUNTUT ILMU
Hadith: 
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai."

Huraian Hadith: 
Pengajaran hadith:
i) Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam.
ii) Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian makhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya 

5) JANGAN KEDEKUT MEMBERI ILMU
Hadith: 
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat"

Huraian Hadith: 
1. Islam sangat menghargai ilmu dan ulama (ilmuwan), sehingga kedudukan ilmu dan ulama sangat tinggi dan mulia dalam parameter Islam. Allah S.W.T telah berfirman: "... nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." (Al Mujaadalah [58]:
2. Kerana kedudukan ilmu yang sedemikian tingginya, maka Islam mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu, sehingga diharapkan mereka bekerja berdasarkan ilmunya, bukan sekadar mengikuti seseorang tanpa tujuan
3. Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan peradaban yang berguna serta memberikan gambaran yang betul tentangnya tanpa merasa iri hati atau tamak kerana orang yang memberikan ilmu berupa petunjuk akan dikurniakan balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang yang mengamal ilmu tersebut.

6) MENCARI KEPAKARAN ILMU
Hadith: 
Dari Zaid bin Tsabit r.a bahawa nabi saw. menyuruhnya supaya mempelajari tulisan Yahudi sehingga saya menuliskan untuk nabi s.a.w. surat-surat baginda (untuk orang Yahudi) dan membacakan surat-surat orang Yahudi apabila mereka berkirim surat kepada baginda.

Huraian Hadith: 
Kekuatan tidaklah terbatas kepada kekuatan senjata, malah melewati batas ini hingga merangkumi semua perkara yang boleh menjadikan seorang Islam itu kuat, seperti ilmu pengetahuan, kekayaan dan lain-lainnya. Apabila tiap-tiap Muslim itu kuat, umat Islam secara keseluruhannya akan kuat. Oleh itu, untuk mencari dan mencapai kekuatan di zaman moden ini memerlukan kepada daya usaha, ilmu pengetahuan untuk mempelajari segala jenis kepakaran dalam berbagai jenis ilmu seperti ilmu kimia dan fizik dan juga ilmu dalam perusahaan dan industri, melakukan percubaan-percubaan dan mempelajari ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh orang bukan Islam dalam bidang kebendaan. Oleh kerana pencapaian kekuatan adalah bergantung kepada perkara-perkara tersebut, maka Islam meletakkan hukum bahawa mempelajari perkara-perkara itu adalah sebagai fardhu kifayah kepada ummat Islam.


Sumber : JAKIM

Khamis, Februari 03, 2011

Khasiat Tumbuhan Herba 1

BELIMBING TANAH

pokok belimbing tanah hidup secara serumpun

Belimbing tanah (nama botani: Tacca spp. (Cristata/integrifolia) atau juga dikenali sebagai janggut adam, janggut baung, kelemoyang air, sebiak merupakan sejenis pokok herba tempatan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia sebagai pokok perubatan kerana beberapa khasiatnya. Pokok belimbing tanah mampu mencecah ketinggian sehingga 1 meter. Pokok ini mempunyai daun yang lebar dan panjang (menyerupai daun kunyit). Daunnya juga berbentuk bujur telur dan bewarna hijau tua dengan permukaan daun yang berkedut.


Belimbing tanah mempunyai bunga yang besar berwarna ungu keputihan terbit dihujung tangkai yang tumbuh tegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 60cm. Belimbang tanah juga dikenali sebagai belimbing bukit, yang merujuk kepada habitatnya yang tumbuh liar dikawasan lembap hutan tanah pamah dan lereng bukit. Ia merupakan tumbuhan berumpun yang biasanya dijumpai dikawasan yang agak lembab dan terlindung dari cahaya matahari serta mempunyai kandungan humus yang tinggi seperti dikawasan kebun getah. Tumbuhan ini agak popular dikawasan Pantai Timur, Semenanjung Tanah Melayu.

pokok belimbing tanah subur di kawasan yang redup

buah belimbing tanah

KHASIAT POKOK BELIMBING TANAH
1) Dapat mengubati penyakit kencing manis.
2) Dapat mengubati penyakit darah tinggi.
3) Dapat mengubati penyakit lemah jantung.
4) Dapat mengubati penyakit buah pinggang.
5) Dapat mengubati penyakit buasir.

Cara penyediaannya.
1) Kesemua pokok termasuk akar dan buahnya dibersihkan direbus sehingga mendidih.
2) Minum 2 kali sehari.